JOE Hart membayangkan dia tidak mungkin “hidup seperti rahib” tetapi mengakui perlu “pantas belajar” mengatasi sikap merendah diri selepas penjaga gol Manchester City dan pasukan kebangsaan England itu dua kali diketepikan pada perlawanan liga musim ini.
Pada usia 23 tahun, tiada siapa mampu menafikan kemampuan Hart sebagai penjaga gol utama kelab dan negara, begitu juga pada perlawanan menentang Manchester United awal pagi tadi di Eastlands.
Gambar Hart juga dirakamkan berparti di Sepanyol, kurang 48 jam sebelum menyertai skuad kebangsaan England untuk perlawanan kelayakan Euro 2012 menentang Montenegro, Oktober lalu.
Bagaimanapun Hart mendakwa tiada siapa boleh mempertikai profesionalisme dalam dirinya. “Saya tidak akan merendahkan bola sepak kerana inilah kehidupan saya,” kata Hart.
“Saya sentiasa cergas pada Sabtu atau Khamis mahupun Ahad, jadi itu sudah cukup membuktikan profesional, saya bersedia bagi setiap perlawanan.
“Untuk menjadi sebahagian daripada kelab seperti Manchester City, anda perlu lebih profesional dalam dan di luar padang.
“Saya sedar dengan tidak melakukan apa yang saya mahu lakukan dan tidak boleh membabitkan diri dengan perkara tertentu akan membantu untuk lebih maju.
“Saya tidak fikir bahawa saya perlu berlagak seperti rahib. Cuma saya fikir perlu lebih bijak bertindak dalam setiap perlakuan. Mungkin pada usia ini, saya tidak sedar di mana saya berada, perlu lebih jujur tapi sebagai pemain muda anda perlu pantas belajar sebagai pemain bola sepak.
“Ada banyak cara menikmati kehidupan anda. Ada tempat yang anda perlu dan tidak perlu anda hadiri, bergantung kepada situasi diri anda. Tapi selagi anda sedia dan boleh menjawab persoalan menerusi persembahan pada Sabtu atau Ahad, saya rasa anda boleh teruskan.
“Lainlah jika anda tidak tampil pada hari perlawanan dan berasa tidak sihat, barulah situasi itu menjadi tidak betul. Tapi saya tidak pernah gagal hadir latihan dan saya berbangga dengan diri sendiri.” Sejak City dipayungi jutawan Sheikh Mansour bin Zayed al Nahyan dengan melimpahkan wang di Eastlands, pemain kelab itu mula mendapat perhatian muka depan akhbar. Tetapi City kini berubah status dan persepsi kelab. Hart mengakui Mancini semakin berjaya merealisasikan visinya.
“Saya rasa semua orang sedar akan keadaan itu,” kata Hart. “Kadang kala sukar , tapi dalam masa sama ia membantu. Ia akan membantu saya sedar sedikit demi sedikit, di mana kedudukan sebenar saya ketika ini.
“Dalam cara positif, anda tidak boleh memaparkan diri sebenar kerana orang ramai sentiasa mahu tahu di mana anda dan apa yang anda lakukan. Ia bukan berkaitan dengan bola sepak semata-mata.
“Anda perlu lebih berhati-hati dengan kehidupan peribadi. Pengurus mahu kami semua menjadi ultra profesional, saya mahu memberikan yang terbaik daripada diri saya.
“Saya janji tidak akan melakukan perkara yang boleh menjadi perhatian umum. Orang ramai sentiasa mahu tahu mengenai kami, tapi kebanyakan mereka mendapat kontrak baik, itu mungkin satu motivasi.
“Tapi tiada seorang pun dalam bilik persalinan yang saya rasakan tidak layak mendapat apa yang diberi kepada mereka. Saya agak pasti jika ada sesiapa rasa tidak berpuas hati, saya boleh tunjuk siapakah pemain itu.”