Zack, Zaharulnizam ditawar ke FC Ryukyu

Picture
Ong Kim Swee mengesahkan kelab Jepun FC Ryukyu telah menawarkan kontrak kepada Wan Zack Haikal dan Wan Zaharulnizam.

klik 👉 Follow Telegram Obsesbola untuk berita bolasepak terkini (large-bt)


Pada bulan Julai tahun lepas, kedua-dua pemain Harimau Muda tersebut telah menjalani ujian di FC Ryukyu selama seminggu dan aksi mereka telah mendapat perhatian pihak kelab itu.

Wan Zack dan Wan Zaharulnizam telah ditawarkan kontrak oleh FC Ryukyu. Pihak kelab tersebut telah bertemu dengan saya ketika saya di Jepun untuk Persidangan Bola Sepak di sana bulan lepas, " kata Ong Kim Swee kepada wartawan di Australia.

Tambahnya lagi: "Mereka ditawarkan kontrak sekurang-kurangnya dua tahun tetapi kami pihak FAM masih belum membuat keputusan tentang perkara ini."


Menurut jurulatih Harimau Muda itu, selepas kejadian Nazmi Faiz yang kembali dari Portugal untuk menyertai PKNS FC selama tiga tahun menyebabkan mereka kini lebih berhati-hati.

"Selepas apa yang terjadi kepada Nazmi, kami kini harus lebih berwaspada dalam melepaskan pemain muda kami ke luar negara.

"Apa yang terjadi kepada Nazmi adalah sesuatu yang amat merugikan dan kami tidak mahu perkara ini berulang lagi." jelasnya.

OKS puji kesungguhan pemain


Jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee memuji kesungguhan anak buahnya yang berjaya menewaskan Brisbane Lions SC 2-1 pada Rabu malam.

Jaringan awal oleh Izzaq Faris dan Rozaimi sebelum separuh masa pertama tamat, telah memberikan dua kemenangan berturut-turut kepada Harimau Muda di Australia.

Walaupun tidak berjaya mendapatkan jumlah gol yang banyak seperti perlawanan yang lepas, Kim Swee tetap memuji kesungguhan pemainnya.


"Perlawanan kedua ini lebih sukar berbanding perlawanan pertama Sabtu lepas dimana kami menang 5-1. Apa yang saya dapati, selepas Izzaq menjaringkan gol pada minit awal perlawanan, pasukan gagal mengekalkan rentak permainan dan menyebabkan pihak lawan menjaringkan gol penyamaan melalui set-piece," kata Ong Kim Swee kepada FOX Sports MY.

Rozaimi yang telah menjaringkan gol pada perlawanan pertama, menyelamatkan Harimau Muda dengan jaringan gol kemenangan pada minit ke-39 perlawanan.


"Selepas gol penyamaan pihak lawan, kami sukar mendapatkan semula rentak tetapi beberapa minit sebelum separuh masa pertama tamat, kami bangkit semula dan mendapatkan jaringan untuk memastikan kemenangan buat pasukan," jelasnya lagi.

Pada separuh masa kedua, beliau telah melakukan perubahan hampir kesemua kesebelasan utama untuk memberikan peluang kepada pemainnya beraksi namun tiada jaringan yang dilakukan walaupun terdapat beberapa peluang yang baik.

"Semestinya corak permainan pada separuh masa kedua berubah selepas saya melakukan perubahan pemain. Tetapi apa yang penting, pemain menunjukkan kesungguhan untuk mempertahankan gol kemenagan kami pada separuh masa pertama." tambahnya.

Sementara itu, beliau turut memberikan ulasan tentang Izzaq Faris yang telah menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan.

"Itu satu petanda yang baik. Sekarang saya sedang memberi dia masa beraksi dengan lebih. Buat masa ini di hanya beraksi 45 minit dalam dua perlawanan. Mungkin selepas ini dia akan diberi peluang beraksi sepenuh masa."


Harimau Muda teruskan rentak

Pasukan Malaysia Bawah-23 berjaya menumpaskan Brisbane Lions SC 2-1 pada aksi persahabatan kedua di Australia pada Rabu malam.

Jaringan awal perlawanan oleh Izzaq Faris dan jaringan Rozaimi pada minit ke-39 berjaya memberikan kemenangan kepada Harimau Muda menentang Brisbane Lions SC di Queensland Athletics and Sports Center.

Selepas menumpaskan Palm Beach Sharks 5-1 pada Sabtu lepas, Harimau Muda bertemu dengan pihak lawan yang lebih sukar untuk diatasi pada aksi persahabatan yang kedua.

Jurulatih, Ong Kim Swee telah menurunkan kebanyakan pemain simpanan bagi perlawanan menentang Brisbane Lions untuk memberi lebih peluang kepada mereka.

Seawal minit ke-3 perlawanan, Izzaq Faris menyumbat gol pertama perlawanan hasil hantaran Azrif Nasrulhaq dari tengah.

Ternyata Brisbane Lions memberikan cabaran yang hebat kepada skuad Malaysia Bawah-23 itu apabila sukar untuk mereka menembusi benteng pertahanan pasukan tempatan itu.

Pada minit ke-14, Brisbane Lions berjaya menjaringkan gol penyamaan.

Harimau Muda terus cuba untuk bangkit enggan mengalah walaupun pemain Brisbane Lions yang mempunyai fizikal yang lebih besar dari mereka memberikan perlawanan yang menguji ketahanan mental dan fizikal.

Rozaimi yang juga menjaringkan gol pada perlawanan yang lepas, menjaringkan gol kemenangan untuk Harimau Muda pada minit ke-39 hasil sepakan percuma dari kanan.

Bermula separuh masa kedua, Ong Kim Swee melakukan lima perubahan dalam pasukannya dengan memasukkan Thamil Arasu, Nurridzuan, Saiful Ridzuwan, Ariff Farhan dan Adam Nor Azlin menggantikan Saarvindran, Izzaq Faris, Syahid, Amer Saidin dan Irfan Fazail.

Tiada serangan berbahaya dari kedua-dua pasukan pada 15 minit pertama babak kedua perlawanan dan pergerakan permainan lebih banyak berlaku di bahagian tengah.

Ong Kim Swee terus memberi peluang kepada pemain simpanan apabila beliau menggantikan Azrif Nasrulhaq, Rozaimi dan penjaga gol, Farhan Abu Bakar dengan Syahrul Azwari, Nazirul Naim dan Mohd Firdaus.

Harimau Muda mendapat beberapa peluang untuk menambah jaringan namun tidak berjaya disempurnakan dengan baik.

Penggantian pemain terakhir dilakukan beberapa minit sebelum masa tamat apabila Ferris Danial yang baru pulih dari kecederaan masuk menggantikan Wan Zaharulnizam.

Peluang terus hadir untuk Harimau Muda melalui percubaan dari Thamil, Syahrul dan juga Ferris namun gagal menembusi gawang gol Brisbane Lions.

Harimau Muda akan bertemu Brisbane Olympic pada 2 Februari ini.

Harimau Muda bermula dengan baik

Pasukan Malaysia Bawah-23 bermula baik selepas berjaya menewaskan pasukan Palm Beach Sharks 5-1 pada aksi persabahatan pertama di Australia.

Jaringan oleh Wan Zaharulnizam, Rozaimi, dua jaringan oleh Thamil Arasu pada babak pertama dan jaringan oleh Izzaq Faris pada separuh masa kedua telah memberikan kemenangan selesa untuk Harimau Muda pada aksi persahabatan pertama mereka di Brisbane, Australia.

Harimau Muda menguasai keseluruhan separuh masa pertama tanpa memberi peluang kepada The Sharks. Wan Zaharulnizam berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-24.

Terdapat banyak percubaan yang dilakukan oleh skuad Bawah-23 itu dan mereka ternyata mampu memenangi perlawanan itu dengan jumlah gol yang banyak.

Empat minit selepas itu, Rozaimi menyumbat gol mudah dari kiri selepas penjaga gol Sharks gagal megawal gawang golnya dengan baik.

Pasukan tuan rumah beraksi dengan lebih fizikal namun itu tidak menghalang Harimau Muda untuk terus mengasak dan pada minit ke-32, Thamil Arasu menjaringkan gol ketiga perlawanan hasik hantaran oleh Irfan Fazail.

Tiga minit selepas itu, Thamil sekali lagi menjaringkan gol mudah dan meletakkan Harimau Muda 4-0 di hadapan pasa separuh masa pertama.

Jurulatih Ong Kim Swee melalukan enam penukaran pemain pada babak kedua dengan memasukkan Syahrul Azwari, Saarvindran, Izzaq Faris, Hazwan Bakri, Syahid Zaidon dan Mohd Firdaus menggantikan Nurridzuan, Rozaimi, Izham Tarmizi, Wan Zaharulnizam, Adam Nor Azlin dan Thamil Arasu.

The Sharks yang pemainnya secara purata berumur 22 tahun itu, mula bangkit selepas waktu rehat. Penjaga gol kedua Harimau Muda, Firdaus lebih diuji berbanding Izham pada babak pertama perlawanan.

Barisan pertahanan Harimau Muda juga diasak oleh pasukan tuan rumah yang masih cuba untuk mendapatkan jaringan walaupun sudah ketinggalan 4-0.

Walaubagaimanapun, pada minit ke-68 Izzaq Faris berjaya menembusi gawang gol pasukan tuan rumah itu dan meletakkan Harimau Muda 5-0 di hadapan.

Aksi pasukan Harimau Muda pada babak kedua berlainan dengan separuh masa pertama ikutan dari perubahan enam pemain termasuk Ariff Farhan dan Saiful Ridzuwan yang masuk menggantikan Amer Saidin dan Irfan Fazail pada minit ke-50.

Selepas beberapa kali cuba mengasak, The Sharks akhirnya berjaya menjaringkan gol saguhati pada minit ke-82 perlawanan.

Harimau Muda XI: Izham (GK), Kenny, Shahrul Saad, Amer Saidin, Azrif Nasrulaq, Adam Norazlin, Irfan Fazail (C), Wan Zaharulnizam, Nurridzuan, Thamil Arasu, Rozaimi

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola


Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.