Kalah terhormat
BARISAN muda negara terpaksa akur dengan kehebatan Jepun apabila tewas 0-2 pada perlawanan kedua Kumpulan A bola sepak Sukan Asia Guangzhou di Stadium Huadu, semalam.
Biarpun begitu, kekalahan itu berakhir dengan cukup terhormat apabila mereka memberikan saingan sengit sepanjang 90 minit permainan, malah hampir sahaja menyamakan kedudukan ketika Jepun mendahului 1-0 hasil tandukan Izzaq Faris Ramlan pada minit ke-45.
Bagaimanapun, penjaga gol Jepun, Shunsuke Ando pantas menolak bola keluar yang meleret ke arah S Kunalan tetapi sepakan derasnya dihalang benteng pertahanan.
“Kami tahu sukar berdepan Jepun tetapi barisan muda Malaysia mampu memberikan saingan.
“Malah, mereka seakan-akan setanding pada babak pertama dengan banyak melancarkan gerakan menarik ke arah kubu lawan hingga adakala memaksa benteng Jepun bekerja keras.
“Namun kecetekan pengalaman menjarakkan antara dua pasukan ini. Kami tewas kerana menghadiahkan dua gol mudah hasil kesilapan pertahanan.
“Apapun kredit wajar diberikan kepada mereka kerana memberikan aksi pada saya jauh lebih baik ketika menewaskan Krygyzstan,” kata jurulatih K Rajagobal.
Dua gol Jepun dijaringkan Kensuke Nagai m-25 manakala Keigo Higashi menambah gol kedua m-64.
Berdasarkan apa dipersembahkan, Rajagobal yakin barisan muda negara tidak perlu gentar menentang Jepun atau apa jua pasukan gergasi Asia lain selepas ini terutama China, Sabtu ini.
Menurutnya, pemain membuktikan mereka berupaya, malah boleh bersaing dengan mana-mana lawan. Hanya yang membezakan adalah pengalaman serta kematangan permainan.
“Majoriti pemain pertama kali bermain dalam perlawanan kompetetif, apatah lagi menentang Jepun.
“Pada saya, jika benteng tidak membuat kesilapan mudah tadi, kami mungkin mampu seri,” jelasnya.
Berdepan China pula, beliau mengakui ia perlawanan kedua sukar yang terpaksa dihadapi, malah tuan rumah itu pastinya bersemangat mencipta kemenangan bagi layak ke pusingan kedua.
“Seperti yang saya katakan, kami akan menentang mereka seperti apa yang pemain lakukan ke atas Jepun.
“Pastinya saya harap beberapa tonggak pemain yang mengalami kecederaan akan cergas semula,” harapnya.
Sementara itu jurulatih Jepun, Takashi Sekizuka memberi reaksi positif atas persembahan skuad negara yang katanya kerap menyukarkan pergerakan pasukannya.
“Malaysia bermain baik sekalipun tewas hari ini. Tahniah kepada jurulatih Malaysia kerana memiliki pemain muda berbakat besar.
“Saya difahamkan mereka baru pertama kali beraksi di kejohanan besar. Tahniah sekali lagi,” katanya yang lega pasukannya berjaya mara ke pusingan kedua.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola