JEPUN nyata bukan tandingan dan semalam, skuad pincang penuh kecederaan K Rajagobal tunduk 2-0, sekaligus menyempitkan laluan untuk ke peringkat suku akhir bola sepak dari Kumpulan A.
"Memang dari awal kita sudah menjangka ia akan menjadi perlawanan yang sukar, lebih-lebih lagi tanpa ramai tonggak dan kehilangan pula dua pemain penting ketika bertemu Kyrgyzstan.
"Tetapi pada separuh masa pertama, pemain bertahan dengan baik dan kita bergantung kepada serangan balas, dan sepatutnya boleh menyamakan kedudukan menerusi Izzaq (Faris Ramlan).
GAYA pemain Malaysia, Fadzli Shah menghalang pemain Jepun, Higasshi Keigo dalam saingan Kumpulan A di Stadium Huadu, semalam.
"Bagi saya, kita tiada sesuatu yang ekstra untuk berdepan Jepun hari ini walaupun lawan bukanlah sebuah pasukan yang luar biasa," katanya merumuskan kekalahan itu.
Dengan Safiq Rahim memakai lilitan lengan menggantikan Norhafiz, corak permainan anak buah Rajagobal ternyata tampak kurang kemas dan tidak sebaik berbanding dalam perlawanan pertama berdepan Kyrgyzstan.
Penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat tertewas menerusi rembatan cantik Kensuke Nagai pada minit ke-25, sebelum Jepun menambah jaringan pada minit ke-63 menerusi tandukan Hotaru Yamaguchi.