LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengakui penyerang Newcastle United, Andy Carroll berhak untuk disenaraikan dalam skuad kebangsaan England.
Wenger menyuarakan sokongan itu selepas Carroll meledakkan gol kemenangan 1-0 Newcastle ke atas Arsenal pada aksi Liga Perdana England kelmarin.
Pada aksi yang berlangsung di Emirates itu, Carroll yang kini beraksi bersama skuad bawah 21 tahun (B-21) England membuktikan kehebatannya apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-45.
"Carroll beraksi dengan lincah. Saya percaya dua tonggak pertahanan tengah kami (Arsenal) telah melak- sanakan tugas mereka dengan baik tetapi Caroll seorang pemain yang sukar untuk dikawal."
Ditanya sama ada Carroll kini sudah mampu untuk menggalas tugas dalam skuad senior England, Wenger berkata: "Sudah dan saya percaya dia mampu tampil dengan prestasi terbaiknya."
Sementara itu, pengurus Newcastle, Chris Hughton turut memuji persembahan yang dipamerkan Carroll.
"Dia (Carroll) merupakan seorang pemain yang sedang meningkat naik.
"Memang kamu melihat dia sudah seperti para pemain bintang yang lain tetapi dia masih mempunyai beberapa kelemahan," ujar Hughton. - AFP