GUANGZHOU - Kemenangan 2-1 ke atas Kyrgyzstan petang semalam terpaksa dibayar dengan harga yang mahal apabila skuad bola sepak kebangsaan kehilangan dua tonggak utama, Norhafiz Zamani Misbah dan Ahmad Fakri Saarani.
Zamani dan Fakri bukan sahaja tidak dapat beraksi pada perlawanan kedua menentang Jepun esok tetapi berkemungkinan besar terpaksa melupakan terus kempen Sukan Asia 2010 akibat kecederaan lutut.
Fakri yang bergandingan dengan Norshahrul Idlan Talaha di bahagian serangan hanya sempat beraksi 13 minit sebelum digantikan Faizal Abu Bakar kerana dia mengalami kecederaan lutut kanan.
Manakala Zamani pula terpaksa diusung keluar pada minit ke-72 setelah mengalami kecederaan lutut kiri dengan Fadhli Shas masuk menggantikannya untuk bergandingan dengan Muslim Ahmad di posisi pertahanan tengah.
Namun mujur pemain sayap, S. Chanturu hanya mengalami kekejangan otot ketika dia dikeluarkan pada minit ke-82 dengan Izzaq Faris Ramlan masuk menggantikannya.
Namun Zamani, 29, yang merupakan salah seorang daripada tiga pemain senior serta memakai lilitan selaku ketua pasukan berkata, dia tidak mahu ketiadaannya nanti menjejaskan rentak pasukan.
"Secara peribadi, saya rasa kecederaan saya ini tidak akan menjejaskan pasukan. Ini kerana, kecederaan boleh berlaku bila-bila masa dan kepada sesiapa pun.
"Saya tetap yakin bahawa baki pemain muda yang ada mampu untuk menggalas tugas yang diberikan terutama Muslim dan Fadhli untuk mengemudi benteng pertahanan.
"Tentang kecederaan ini, saya akan lihat apa keputu- san ujian daripada fisioterapi bagi mengetahui sejauh mana tahap keseriusannya," kata Zamani pada sidang media selepas perlawa- nan.
Dengan ketiadaan Zamani, tugas sebagai ketua pasukan bakal digalas pemain tengah, Safiq Rahim.
Sementara itu, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal tidak mahu terlalu memikirkan tentang masalah kecederaan yang sememangnya cukup menguji pasukannya sejak mereka belum terbang ke Guangzhou lagi.
"Kami tiada pilihan. Zamani dan Fakri tak dapat beraksi menentang Jepun. Memang mereka berdua pemain penting dalam pasukan.
"Tetapi saya harap ia bakal menjadi peluang kepada pemain lain untuk beraksi dengan baik apabila bertemu Jepun," jelas Rajagobal.
Sebelum ini, Rajagobal sudah kehilangan beberapa pemain tonggak utama akibat kecederaan.