Negara jiran Qatar anjur perlawanan Piala Dunia

Negara jiran Qatar mungkin boleh menganjurkan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2022, demikian menurut Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Sepp Blatter.




Qatar dipilih sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022 minggu lalu, walaupun kebimbingan terhadap ancaman cuaca panas melampau yang mengudang risiko terhadap kesihatan, jika kejohanan itu dilangsungkan pada musim panas.

Dalam temubual dengan akhbar sukan harian L'Equipe kelmarin, Blatter berkata, dalam bidaan Piala Dunia 2022 oleh Australia, negara itu mencadangkan beberapa perlawanan turut dilangsungkan di New Zealand dan Qatar juga boleh berbuat demikian, dengan negara jirannya menganjurkan perlawanan.

Namun, dia tidak menyatakan negara mana.

"Australia, dalam tawaran pencalonannya mencadangkan untuk memberikan beberapa perlawanan kepada New Zealand.

"Saya rasa ia juga sama boleh dilaksanakan di Qatar, dengan beberapa perlawanan diadakan di negara berdekatan dengan negara itu,'' katanya.

FIFA bertindak tepat apabila memberikan hak tuan rumah kepada Qatar, dan menurut Blatter, ini disebabkan bola sepak perlu diperluaskan daripada kawasan tradisinya.

"Dengan Qatar menjadi tuan rumah, kami membuka bola sepak ke dunia baru dan budaya baru.

"Dunia Arab telah beberapa kali mencuba seperti Maghribi dan Mesir contohnya untuk menganjurkan Piala Dunia,'' katanya.

Qatar mengalahkan Jepun, Amerika Syarikat dan Korea Selatan ketika memenangi bidaan tersebut.

Kewangan besar yang dimiliki Qatar, berupaya dalam memastikan pemasangan sistem pendingin hawa di dalam stadium dan padang latihan untuk mengatasi kepanasan padang pasir.

Diperintah oleh keluarga Al Thani, negara kecil di Teluk itu komited menaik taraf infrastruktur dengan kos AS$42.9 bilion dan AS$4 bilion lagi untuk membina sembilan stadium dan tiga yang lain dinaik taraf.

Mengikut perancangan, kesemua stadium berkenaan akan mengekalkan suhu sekitar 27 darjah celsius.

Blatter berkata, kewangan bukanlah keutamaan ketika memilih Qatar menganjurkan Piala Dunia.

"Jika kami mahu membuat duit, kami akan menyerahkan hak tuan rumah kepada Amerika Syarikat.

"Anda jangan lupa bahawa mereka (Qatar) telah berusaha sejak sekian lama dan pernah menganjurkan kejohanan FIFA seperti Piala Dunia Bawah 20,'' katanya. - AP.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.