MH370

Terkini

Man. City kena fokus 'lebih daripada biasa'

Kolo Toure memberi amaran kepada rakan sepasukannya di Manchester City bahawa mereka perlu 'lebih fokus daripada biasa', untuk menepati perbelanjaan mewah kelab itu dengan memenangi kejuaraan musim ini.


Walaupun menang dalam dua daripada lima perlawanan Liga Perdana England, kelab England yang berbelanja paling besar itu akan sama mata dengan pendahulu, Arsenal jika menang di tempat lawan ke atas pasukan tercorot, West Ham hari ini.

Skuad mahal Roberto Mancini boleh merealisasikan hasrat itu kerana Arsenal, Manchester United dan Chelsea, tiga kelab yang mengatasi mereka, tidak beraksi sehingga esok dan Isnin.

Kemenangan ke atas skuad Hammers, menjadi bekalan terbaik sebelum mengharungi minggu yang sibuk dengan sambutan Krismas dan Tahun Baru, yang menyaksikan skuad Mancini berdepan Everton, Newcastle, Aston Villa dan Blackpool sebelum beraksi di padang lawan menentang Arsenal pada 5 Januari ini.

Toure menegaskan, untuk tempoh akan datang, yang merangkumi perlawanan Liga Europa menentang Juventus di Turin pada 15 Disember ini, mungkin mampu menentukan pencapaian City musim ini.

"Kami semakin konsisten, tetapi kami masih perlu mengharungi satu demi satu perlawanan. Menentang pasukan tercorot, mungkin lebih mudah buat kami.

"Begitupun, saya rasa sukar untuk kami mencatat kemenangan kerana pasukan yang akan kami tentang esok, akan beraksi berhati-hati dan mampu memberi ancaman.

"Kami harus teruskan dengan apa yang kami buat bulan lalu dan fokus lebih daripada biasa,'' katanya.

Tambahnya: "Saingan masih panjang, namun minggu ini atau minggu depan, ia mungkin dapat menentukan siapa pemenang musim ini.

"Kami perlu mengelak kekalahan selama yang mungkin, kerana ia menjadi sebahagian daripada mentaliti kami.

"Kami akan menentang West Ham sama seperti pasukan lain yang menduduki tempat empat teratas,''.

Toure dikeluarkan awal akibat masalah pangkal paha ketika menang 1-0 ke atas Bolton, pada Sabtu lalu.

Bekas pemain Arsenal itu berharap dapat diturunkan apabila menentang West Ham, yang memulakan perlawanan tiga mata dari zon selamat.

Di sebalik prestasi hambar West Ham, pengurus City, Mancini tetap menjangkakan perlawanan sukar di Upton Park, selepas mendakwa Hammers tidak berada pada kedudukan sepatutnya.

"Menentang West Ham pastinya akan menjadi perlawanan yang sukar, kerana mereka melalui detik malang ketika ini, namun saya rasa mereka memiliki sebuah pasukan yang bagus.

"Mereka tidak layak berada di tempat tercorot dan ia akan menjadi perlawanan sukar buat kami. Kami perlu beraksi dengan cara yang sama, tanpa mengira di tempat sendiri atau di tempat lawan. Rekod kami di padang lawan juga agak baik musim ini,'' katanya.

Man. City kena fokus 'lebih daripada biasa' Reviewed by admin Ucop on 8:53 PM Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by Kickbola Blogspot Soccer Online News © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Sweetheme

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.