FAM gesa penyokong banjiri Stadium Nasional

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, tanpa mengira apa juga keputusan perlawanan, rakyat Malaysia harus hadir ke stadium untuk memberikan semangat kepada pemain yang amat memerlukan sokongan padu apabila beraksi di tempat sendiri.


Para penyokong diseru supaya hadir memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil untuk memberi sokongan kepada pasukan Malaysia pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 menentang Vietnam Rabu ini.

Menurutnya, sokongan para peminat bola sepak tempatan amat ditagih, dalam usaha membantu Malaysia ke perlawanan akhir buat kali pertama semenjak tahun 1996.

''Inilah masanya buat peminat untuk memberi sokongan padu kepada skuad bola sepak negara. Mungkin ada di kalangan mereka yang sebelum ini lantang mengkritik mutu persembahan skuad negara.

''Namun, lupakan semua itu buat seketika, kerana apa yang lebih penting mereka harus di sisi skuad kebangsaan yang akan berdepan Vietnam nanti,'' katanya yang ditemui di Menara Emkay, Petaling Jaya, semalam.

Mengenai peluang skuad negara, Hamidin berkata, tidak mustahil buat anak-anak buah K. Rajagobal untuk mencatat kemenangan ke atas Vietnam.

''Sebenarnya pasukan kita boleh pergi jauh. Ketika tewas kepada Indonesia pada perlawanan pertama, kita banyak kali tidak bernasib baik, sedangkan kekuatan kita dengan mereka tidaklah sejauh mana.

''Saya doakan pasukan Malaysia mampu melakukan yang terbaik ke atas Vietnam dan melangkah ke perlawanan akhir selepas 14 tahun menanti,'' katanya.

Tiket Piala Suzuki AFF dijual Isnin

Tiket untuk perlawanan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF di antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil Rabu ini, mula dijual mulai Isnin ini.

Dalam kenyatannya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan harga tiket perlawanan tersebut adalah RM40 bagi tempat duduk berbumbung dan RM20 bagi tempat duduk tidak berbumbung.

Manakala bagi kanak-kanak, harga tiket adalah RM5 dan ia hanya bagi tempat duduk tidak berbumbung.

''Orang ramai boleh mendapatkan tiket yang akan dijual mulai Isnin ini di Wisma FAM, Kelana Jaya mulai pukul 9.30 pagi hingga 5 petang.

''Selepas itu, orang ramai boleh membeli tiket di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Disember, mulai pukul 10 pagi hingga 7 malam.

''Tiket juga boleh dibeli pada hari perlawanan di Stadium Nasional yang akan dijual mulai pukul 10 pagi sehingga perlawanan dimulakan,'' kata kenyataan tersebut.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.