Solskjaer kembali latih kelab Norway
Ole Gunnar Solskjaer menamatkan hubungan 14 tahun bersama Manchester United kelmarin apabila bersetuju kembali ke negara asalnya untuk menyertai kelab Norway, Molde sebagai jurulatih.
Solskjaer, 37, yang menjaringkan gol kemenangan United pada minit kecederaan ketika final Liga Juara Eropah 1999, menandatangani kontrak dengan gaji tahunan 2.4 juta kroner (RM1.31 juta), serta pendapatan tambahan daripada bahagian pemasaran.
Solskjaer yang sebelum ini berperanan sebagai jurulatih skuad simpanan United, akan memulakan tugas barunya bermula 10 Januari depan.
Dia yang mempunyai tiga anak, berkata, faktor keluarga menjadi pendorong utama keputusan kembali ke kelab yang pernah disertainya selama 18 bulan sebelum menyertai United pada 1996.
Solskjaer tiba di Old Trafford sebagai penyerang muda dan pantas menjadi kegemaran peminat kerana keupayaannya meledak gol sebaik dimasukkan. Dia mendapat jolokan “Baby-Faced Assasin” kerana wajahnya yang tampak kebudak-budakan.
Sepanjang kariernya bersama United, dia menjaringkan 128 gol daripada 367 perlawanan, termasuk satu ke atas Bayern Munich ketika menjuarai Liga Juara Eropah dengan 2-1 pada final 1999.
Pada tahun sama, dia meledak empat gol dalam 10 minit sebaik dimasukkan ketika mengalahkan Nottingham Forest 8-1 pada perlawanan Liga Perdana Inggeris.
SOURCE: RED BULL
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola