Selepas seri tanpa jaringan pada pertemuan pertama, pemain tengah Real, Esteban Granero menyambar hantaran Pedro Leon untuk meletakkan kelab gergasi Sepanyol itu di hadapan pada minit keempat.
Penyerang Argentina, Gonzalo Higuain menjadikan kedu- dukan 2-0 pada minit ke-44.
Real menambah gol pada masa kedua menerusi pemain gantian, Cristiano Ronaldo, Karim Benzema dan Xabi Alonso.
"Peminat Real pasti berpuas hati kerana kami berjaya melupakan sejarah lalu apabila kalah kepada Real Union dan Alcorcon," kata pengurus Real, Jose Mourinho merujuk kepada kekalahan kepada kelab Divisyen Tiga itu pada dua musim sebelum ini.
"Kami juga bermain dengan baik dan menghiburkan."
Pada pertemuan menentang Murcia, Mourinho terpaksa menyaksikan perlawanan itu di bangku penonton di Stadium Santiago Bernabeu selepas diarah meninggalkan padang pada minit ke-39.
"Apabila saya diarah meninggalkan padang, saya tahu bahawa saya tidak boleh duduk di tempat saya dan saya perlu duduk di lokasi yang terbaik," kata pengendali kelahiran Portugal itu.
"Saya tidak menghadapi sebarang masalah."
Sementara itu, juara 25 kali, Barcelona membelasah Ceuta 5-1 untuk layak dengan agregat 7-1.
Begitupun, Barca terpaksa membayar dengan harga yang tinggi di atas kemenangan itu apabila pemain pertahanan, Gabriel Milito mengalami kece- deraan paha.
Sebaik perlawanan tamat, pegawai perubatan Barcelona mengesahkan bahawa Milito dijangka akan direhatkan selama empat hingga enam minggu.