N. Sembilan bantah keputusan FAM
Skuad bola sepak Negeri Sembilan ibarat 'sudah jatuh ditimpa tangga'. Selepas kalah dalam Piala Malaysia, kini tidak dapat pula beraksi dalam perlawanan merebut Piala Sumbangsih musim depan.Semuanya berpunca daripada penetapan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), yang memutuskan juara Piala Malaysia akan menentang juara Liga Super tahun ini, tidak seperti sebelum ini, di mana juara Piala Malaysia menentang juara Piala FA.
Berikutan itu, Negeri Sembilan yang menjuarai Piala FA musim ini, secara rasminya telah menghantar surat bantahan melalui Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) kepada FAM, supaya mempertimbangkan keputusan tersebut.
Presidennya, Datuk Seri Mohamad hasan berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan penetapan yang dibuat oleh FAM itu pada pertengahan musim lalu.
''Kami telah menghantar surat bantahan terhadap keputusan yang diputuskan itu semalam, memandangkan sebelum ini Piala Sumbangsih akan menyaksikan juara Piala FA berentap dengan juara Piala Malaysia.
''Saya amat kesal, apabila FAM memutuskan ketetapan baru yang menyatakan bahawa Piala Sumbangsih akan datang mempertemukan juara Liga Super (Selangor) tahun ini dengan juara Piala Malaysia (Kelantan) tahun ini, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Makan Tengah Hari bersama pihak pengurusan PBNS termasuk pemain bola sepak Negeri Sembilan di Klana Resort di sini, semalam.
Jelas Mohamad yang juga Menteri Besar, lebih dikesali, pengumuman itu dibuat pada pertengahan musim di mana setiap dasar atau peraturan baru seharusnya dikuatkuasa atau diumumkan pada awal musim demi kepentingan semua.
''Saya bukan hendak mengkritik tetapi membantah atas dasar melindungi kepentingan, hak dan keadilan bagi pasukan dan pemain.
''Perubahan dasar ini seperti menyaksikan ada individu yang mempunyai konflik kepentingan tersendiri ," tegasnya.
Mohamad menjelaskan, PBNS dalam usaha mendapatkan khidmat pemain baru untuk skuad Hoben Jang Hoben musim depan.
''Kita telah mengenalpasti beberapa pemain baru untuk diserapkan ke pasukan ini termasuk pengguguran pemain yang akan saya umumkan pada 1 Disember depan.
''Tetapi apa yang pasti, Wan Jamak Wan Hasan akan kekal sebagai Ketua Jurulatih skuad ini untuk musim depan," katanya.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola