Tevez nafi hubungan dingin

http://i.telegraph.co.uk/telegraph/multimedia/archive/01778/tevez_reu_1778350b.jpg

Carlos Tevez semalam menegaskan, hubungannya dengan pengurus Manchester City, Roberto Mancini adalah baik, sambil menjelaskan bahawa situasi yang melanda Eastlands ketika ini tiada beza dengan kelab-kelab lain.

Kapten City itu naik berang dan dilihat berperang mulut dengan Mancini selepas dikeluarkan pada lewat minit selepas menjaringkan gol tunggal yang membantu pasukannya mengalahkan Bolton 1-0, Sabtu lalu.

City, kelab berbelanja besar sejak dua musim lalu menghuni tangga keempat Liga Perdana England ketika ini dengan hanya tiga mata di belakang pendahulu, Arsenal.

Begitupun, pergeseran yang terbaru di antara Tevez-Mancini dikhuatiri akan menjejaskan momentum mereka, apatah lagi ia terjadi sehari selepas Jerome Boateng dan Mario Balotelli terpaksa menarik diri daripada latihan.

"Keadaan kami ketika ini sama saja seperti kelab-kelab lain. Kadangkala, ada perasaan baik dan perasaan kurang senang timbul.

"Yang paling penting, sebagai pemain kami harus mengikut arah yang betul dan melakukan yang terbaik untuk kelab. Saya gembira di sini, saya benar-benar gembira.

"Apa saja yang berlaku di antara kami (Tevez dan Mancini) di luar padang atau di bilik persalinan, kekal di sana. Apabila memasuki padang, dia dan saya akan berjuang untuk pasukan.

"Dalam mana-mana saja bilik persalinan pasti ada masalah, ia seperti seisi rumah. Kami adalah sebahagian daripada keluarga. Semuanya baik apabila anda menang tetapi bila kalah, semua orang murung,'' ujar Tevez, yang menjaringkan 10 gol buat City musim ini.

Penyerang antarabangsa Argentina berusia 35 tahun itu turut menyeru pemain-pemain City agar menunjukkan mentaliti sebagai sebuah kelab besar musim ini dalam usaha menamatkan penantian tanpa sebarang kejuaraan.

"Kami kena mula percaya bahawa kami adalah kelab besar. Kami harus bertindak bersama dan memberi sepenuh tumpuan, malah kami juga harus memiliki mentaliti yang kuat apabila mengharungi lima atau enam perlawanan berturut-turut.

"Adalah penting untuk kami berfikir secara betul, iaitu memenangi enam perlawanan berturut-turut yang sekali gus akan memberi kepercayaan bahawa kami boleh jadi juara,'' kata Tevez lagi, yang turut mengakui semangat dan keghairahan ditunjukkan penyokong setia City menjadi inspirasi tambahan kepadanya.

Katanya, dia mendapat motivasi apabila melihat keinginan tinggi peminat untuk memenangi kejuaraan, situasi itu memberi kekuatan kepadanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.