MH370

Terkini

Misi hidup mati Arsenal

http://4.bp.blogspot.com/_g9oHtpV8g9M/TLywLOPRBQI/AAAAAAAAAxo/WL5OLql2jKQ/s1600/uefa_cl.jpg


Pemain pertahanan Arsenal, Bacary Sagna (kanan) tidak rela pasukannya kecundang pada perlawanan menentang Partizan Belgrade di Stadium Emirates dalam saingan Liga Juara-Juara, esok. - AFP



Arsenal mungkin telah memperagakan aksi cemerlang dalam saingan domestik dengan merampas takhta pendahulu Liga Perdana England, namun takdir mereka di pentas Eropah hanya akan diketahui hari ini apabila mengharungi perlawanan terakhir Kumpulan H yang bakal menentukan hidup mati perjuangan mereka dalam Liga Juara-Juara.

Ketika semua kelab England yang lain - Chelsea, Manchester United dan Tottenham sudahpun mengesahkan tiket ke kalah mati, nasib anak-anak buah Arsene Wenger bergantung sepenuhnya kepada hasil pertemuan menentang kelab Serbia, Partizan Belgrade di Stadium Emirates.

Hanya kemenangan menjamin tiket skuad Gunners ke pusingan 16 terbaik kerana Kumpulan H adalah satu-satunya kumpulan yang belum menentukan siapakah dua pasukan terbaik yang layak untuk meneruskan kemaraan.

Pendahulu, Shakhtar Donetsk hanya memerlukan satu mata apabila menentang wakil Portugal, Braga untuk layak.

Ketika ini, kelab Ukraine itu mendahului saingan dengan 12 mata, diikuti Arsenal dan Braga yang berkongsi sembilan mata.

Malah, kemenangan di pentas Eropah bakal menjadi suntikan semangat paling sempurna buat Arsenal sebelum berdepan satu lagi cabaran getir, Manchester United dalam liga domestik di Old Trafford, Isnin ini.

"Kami tidak mahu cabaran kami berakhir pada hujung Disember ini. Kami perlu memenangi kedua-dua perlawanan besar ini untuk menjadikan Arsenal sebuah pasukan yang lebih berkuasa,'' tegas tonggak pertahanan Perancis, Bacary Sagna.

Di atas kertas, Arsenal menjadi pilihan untuk mengalahkan Partizan, kelab yang gagal memenangi semua perlawanan mereka, sekali pun beraksi tanpa tonggak pertahanan, Thomas Vermaelen yang terpaksa diketepikan sehingga hujung tahun akibat kecederaan tumit.

Malah, skuad Gunners menang selesa 3-1 di Belgrade dalam aksi pertama mereka, September lalu.

Pemain tengah Perancis, Samir Nasri yang masih segar dengan kejayaan menyumbat dua gol ketika pasukannya mengalahkan Fulham 2-1 dalam aksi domestik, Sabtu lalu semakin berkobar-kobar untuk memberikan satu lagi keputusan hebat buat pasukannya.

Turut menjadi tumpuan hari ini adalah saingan Kumpulan E, melibatkan gergasi Itali, Roma dengan kelab Romania, CFR Cluj. Ketika naib juara tahun lalu, Bayern Munich sudah melayakkan diri, Roma menjadi pilihan untuk menyambar slot kedua.

Dengan mengumpul sembilan mata ketika ini, pencabar utama mereka adalah FC Basel yang menghuni tangga ketiga dengan enam mata. Kelab Switzerland itu tiada pilihan kecuali menang ke atas Bayern sambil berharap Cluj melakar kejutan ke atas Roma.

Dalam Kumpulan G, dua slot teratas sudah dimiliki Real Madrid dan AC Milan.

Namun, Ajax dan Auxerre masih mempunyai sebab untuk berjuang - mencari penawar dengan memburu tiket ke Liga Europa.

Ajax, yang mengatasi Auxerre dengan satu mata akan berkunjung ke Milan, ketika Auxerre pula bertandang ke Santiago Bernabeu untuk berdepan Real Madrid.

"Saya tidak fikir Auxerre akan menang di Madrid, tetapi siapa tahu. Apa yang penting, kami kena menang ke atas Milan,'' kata penjaga gol Ajax, Maarten Stekelenburg.

Dalam Kumpulan F, semua slot sudah ada pemilik. Chesea dan Marseille telah mengesahkan tiket kalah mati, manakala Spartak Moscow meraih tempat ke Liga Europa.

Kunjungan Chelsea ke Marseille sekadar pelengkap jadual, namun ia juga menjadi kepulangan istimewa buat penyerang mereka, Didier Drogba yang kembali ke kelab lama yang ditinggalkan enam tahun lalu.

"Ia sedikit melucukan. Saya cuma bermain setahun di Marseille, namun perasaan di antara saya, peminat dan bandar raya itu amat menakjubkan. Saya berikan segala-galanya dan mereka berikan yang terbaik kepada saya. Mereka masih sayangkan saya dan saya gembira dapat kembali ke sana,'' ujar Drogba.

Misi hidup mati Arsenal Reviewed by admin Ucop on 12:00 PM Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by Kickbola Blogspot Soccer Online News © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Sweetheme

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.