Lanyak Laos habis-habisan

http://static.inilah.com/data/berita/foto/1031512.jpg

Malaysia tidak memandang remeh perlawanan menentang Laos di Stadium Jaka Baring, Palembang hari ini, walaupun pasukan itu baru dibelasah 6-0 oleh Indonesia pada perlawanan Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak ASEAN, Sabtu lalu.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal berkata, walaupun berdasarkan prestasi semasa Laos hanya seri dengan Thailand 2-2 dan selepas itu mengalami kekalahan teruk ketika bertemu tuan rumah, tetapi kemampuan mereka tidak boleh diperkecilkan.

Apatah lagi kata beliau, Malaysia memang memerlukan kemenangan pada perlawanan tersebut bagi membolehkan layak ke pusingan separuh akhir dan pada masa yang sama berharap Indonesia mengalahkan Thailand.

Namun, apa yang dikhuatiri Malaysia kini adalah Indonesia akan bermain sambil lewa menentang Thailand kerana mereka telah layak ke separuh akhir dan perlawanan itu tidak mempunyai sebarang makna kepada mereka.

Jika Thailand menewaskan Indonesia maka berkuburlah harapan Malaysia dan terpaksa pulang ke tanah air dengan kenangan pahit.

Bagaimanapun, apa juga keputusannya Rajagobal menyatakan beliau tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya dan dia sendiri serta Persatuan Bolasepak Malaysia memang tidak meletakkan sebarang sasaran untuk kejohanan tersebut.

Menurut beliau, ia bukan bermakna Malaysia memandang rendah kejohanan tersebut, tetapi matlamat untuk memberi pemain muda yang rata-rata di dalam pasukan kebangsaan itu telah tercapai.

"Semakin banyak mereka bermain pada kejohanan peringkat antarabangsa, para pemain akan menjadi lebih matang dan sekali gus meningkatkan prestasi serta keyakinan mereka," katanya.

Sementara itu, jurulatih Indonesia, Alfred Riedl awal-awal lagi telah menyatakan akan merehatkan beberapa pemain utamanya pada perlawanan tersebut.

Bagaimanapun, beliau menjanjikan perlawanan tersebut akan tetap berjalan secara adil sebagai menghormati penonton yang memberi sokongan padu kepada pasukan Indonesia.

Sebelum ini Malaysia seri tanpa jaringan dengan Thailand, menyebabkan kedua-dua pasukan terpaksa berebut kedudukan kedua dalam kumpulan A untuk meloloskan diri ke babak separuh akhir.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.