Kita arif taktikal Vietnam - Aidil

Norshahrul Idlan Talaha menjadi taruhan terbaik K. Rajagobal untuk meledak gol apabila Malaysia berdepan Vietnam pada separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu ini.


Berdepan Vietnam pada separuh akhir Piala Suzuki AFF sebenarnya memberikan kelebihan kepada skuad negara untuk melangkah ke perlawanan akhir, berbanding jika menentang Filipina.

Pemain negara yang tidak dapat beraksi akibat cedera, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak juga menganggap kelebihan sebenarnya berpihak kepada Malaysia kerana bertemu Vietnam, kerana rakan-rakannya sudah banyak kali bertemu pasukan itu di peringkat Sukan SEA atau Piala AFF.

''Kebanyakan pemain negara sudah masak dengan taktikal dan corak permainan Vietnam. Saya yakin ini memudahkan tugas jurulatih (K.Rajagobal) untuk merangka strategi yang sesuai dan berkesan.

''Setiap kali berdepan Vietnam pada perlawanan sebelum ini, terutama pada Sukan SEA, semangat kami pasti membara untuk menewaskan mereka, memandangkan status mereka sebagai pasukan No. 1 Asia Tenggara.

''Jika berdepan Filipina, kita mungkin terlalu asing dengan corak permainan mereka, apatah lagi skuad itu berwajah baru kerana mendapat sentuhan ramai pemain baru, '' katanya ketika dihubungi, semalam.

Walaupun rekod pertemuan banyak memihak kepada Vietnam, Aidil menegaskan setiap perlawanan adalah berbeza dan rakan-rakannya tidak harus bimbang mengenai rekod pertemuan lalu.


''Pada kejohanan Piala Millenium Thang Long pada September lalu, kita tewas kepada Vietnam.

Namun, jelasnya Malaysia menang pada penentuan pingat emas Sukan SEA di Laos, tahun lalu.

"Jadi saya anggap peluang kedua-dua pasukan seimbang, biarpun mungkin sebelum ini Vietnam banyak kali menang ke atas Malaysia, '' ujarnya.

Mengenai kekuatan Vietnam berdasarkan pengalamannya, Aidil mengakui skuad bimbingan Henrique Calisto mempunyai beberapa kualiti yang harus diberikan perhatian.

''Vietnam sebuah pasukan yang bekerja keras, sentiasa mencabar pemain lawan ketika menguasai bola dan tidak kenal erti putus asa malah tempo permainan mereka begitu pantas.

''Namun, saya percaya kekuatan skuad kita boleh mengimbangi dengan kelebihan yang kita ada.

''Saya lihat Vietnam lebih tertekan kerana mahu mempertahankan kejuaraan,'' ujarnya.

Aidil berharap Malaysia mencatat kemenangan pada aksi separuh akhir pertama Rabu ini, sebelum ke Hanoi untuk perlawanan kedua pada 18 Disember ini.

''Kemenangan di tempat sendiri dapat membantu psikologi pemain sebelum bertandang ke tempat lawan, di samping mengelak tekanan berlebihan, '' katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.