MH370

Terkini

Essien dilayang kad merah

Michael Essien, yang kembali beraksi setelah pulih daripada kecederaan, muncul wira Chelsea, apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika menang ke atas Fulham.

Reaksi pemain Chelsea, Michael Essien yang tidak menyangka dilayangkan kad merah oleh pengadil Martin Atkinson ketika menentang Fulham di Stamford Bridge, semalam. - AP

Namun, pemain tengah itu digantung tiga perlawanan kerana dilayangkan kad merah pada minit terakhir perlawanan.

Essien dilayangkan kad merah kerana menerjah penyerang Fulham, Clint Dempsey dengan menggunakan kedua belah kakinya.

Ini bermakna pemain antarabangsa Ghana itu terlepas peluang beraksi apabila menentang Sunderland, Birmingham dan Newcastle, kecuali Chelsea berjaya dalam rayuan supaya hukuman tersebut dikurangkan.

Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti mendakwa terjahan yang dilakukan oleh Essien tidak membahayakan, namun Mark Hughes berpendapat sebaliknya.

''Dia melompat menggunakan kedua-dua belah kakinya, sudah tentu kesalahan itu dihukum dengan kad merah, dia harus dikeluarkan. Itu pandangan saya,'' kata Hughes.

Namun insiden itu tidak menjejaskan peluang Chelsea mencatatkan kemenangan, sekali gus melebarkan kelebihan kepada empat ke atas pencabar terdekat, Manchester United, yang seri 0-0 dengan Manchester City.

''Ia memang terjahan yang keras tetapi kaki dihalakan ke arah bola. Ia tidak membahayakan pemain. Dia mahu mendapatkan bola, ia adalah tindakan terakhir sebelum perlawanan, jadi amat penting dia menguasai bola.


''Saya tidak fikir tindakan itu disengajakan, dia berjaya dalam terjahannya, jadi saya rasa keputusan memberi kad merah kurang tepat, '' kata Ancelotti.

Sebelum menerima kad merah, Essien berjaya menyambar tepat hantaran silang Salomon Kalou, dengan menanduk tajam ke gawang Fulham pada minit ke-30, yang akhirnya menjadi gol kemenangan Chelsea.

Hughes ternyata kecewa dengan keputusan pengadil Martin Atkinson, yang membenarkan jaringan tersebut, kerana ketika itu Didier Drogba terbaring di dalam kotak penalti.

Pengurus Fulham itu berkata: ''Saya berasa sungguh terkilan kerana tumpuan para pemain kami terjejas ketika itu, apabila Drogba terbaring di depan gol kami.

''Kami perlu bermain mengikut arahan wisel, kami dihukum kerana membenarkan lawan mengatur gerakan. Para pemain menyangka pengadil akan memberhentikan perlawanan, tetapi ia tidak berlaku, '' kata Hughes.

Sementara itu, Ancelotti mengakui penggantungan Essien mungkin memberikan sedikit masalah, kerana Frank Lampard masih belum pulih sepenuhnya daripada masalah usus.

Peluang Lampard untuk diturunkan apabila berdepan Sunderland masih samar, tetapi Ancelotti menambah: ''Saya harap Essien tidak digantung sehingga tiga perlawanan, ia akan menjadi masalah besar buat kami.

''Saya akan melihat ulang tayang perlawanan sebelum membuat keputusan mengemukakan rayuan.
''Saya rasa Lampard semakin baik. Dia sudah boleh turun berlatih dan saya harap dia akan turun beraksi tidak lama lagi.

"Jika cergas, dia akan diturunkan tetapi saya tidak fikirkan dia mampu bermain sehingga 90 minit, '' kata Ancelotti.
Essien dilayang kad merah Reviewed by admin Ucop on 1:48 PM Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by Kickbola Blogspot Soccer Online News © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Sweetheme

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.