Barca hambat Real Madrid

MADRID – Lionel Messi, David Villa dan Pedro memberikan Barcelona kemenangan 3-1 di Getafe kelmarin, untuk memberi tekanan kepada Real Madrid dalam saingan La Liga.

Juara bertahan itu hanya satu mata di belakang skuad Jose Mourinho, Real yang belum lagi kalah dan di tangga teratas dengan 26 mata dari 10 perlawanan.

Real pula melebarkan penguasaan ke atas musuh setempat Atletico apabila Ricardo Carvalho dan Mesut Ozil menjaringkan gol untuk kemenangan selesa 2-0.

Barca di tangga kedua dengan 25 mata manakala Villarreal, yang bangkit daripada ketinggalan satu gol mengalahkan Athletic Bilbao 4-1, di tangga ketiga dengan 23 mata.

Getafe lebih banyak bertahan pada babak kedua, ketika cuba menyekat asakan lawan dan Barca akhirnya menembusi pertahanan lawan untuk Messi meledak gol pada minit ke-23.

Messi kemudiannya membuka gerakan gol untuk jaringan kedua yang disempurnakan oleh Villa pada minit ke-35.

Pedro menjaringkan gol ketiga selepas Barca mengasak pertahanan lawan yang akhirnya melakukan kesilapan pada minit ke-65.

Pertahanan Barca, Gerard Pique dilayangkan kad kuning kedua dan dibuang padang kerana sengaja menahan bola dengan tangan.

Manu del Moral membalas satu gol untuk Getafe menerusi penalti pada minit ke-70.

Di Stadium Bernabeu, selepas rakan sepasukannya, Pepe hampir meledak gol menerusi tandukan, Carvalho menyelinap masuk di tengah-tengah pertahanan lawan untuk menjaringkan gol Real pada minit ke-13.

Pemain antarabangsa Jerman, Ozil, melepaskan rembatan rendah yang melepasi jangkauan penjaga gol Atletico, David De Gea untuk kedudukan 2-0.

Percubaan gol terbaik pasukan lawan dihasilkan pada minit ke-36 olehbekas pemain sayap Real dan Arsenal, Jose Antonio Reyes, namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, Iker Casillas.

Penyerang Real, Gonzalo Higuain dan penyerang Atletico, Diego Forlan melakukan percubaan tetapi terkena palang pada babak kedua, namun Atletico gagal bangkit memberi tentangan untuk kedudukan kekal 0-2. – Agensi

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.