|
Salah faham Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) jadi penyebab penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat, tidak hadir sesi latihan hari pertama skuad Olimpik pada Rabu.
Misteri ketiadaan Fahmi di Wisma FAM pada hari tersebut terjawab dengan penjelasan wujud kekeliruan antara KAFA dan FAM dengan skuad negeri itu beranggapan Fahmi hanya perlu melapor diri pada 29 Januari untuk latihan kebangsaan di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal.
Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa bagaimanapun sudah melepaskan Khairul Fahmi bersama skuad Olimpik hari ini namun menegaskan pemain itu perlu kembali ke Kota Bharu pada Jumaat sebelum jam 4 petang bagi mengikuti latihan terakhir Red Worriors.
Sudah pasti Fahmi tersepit antara tuntutan majikan iaitu KAFA dan kepentingan kelibat nya bersama skuad Olimpik. Kelantan bakal menentang Kuala Lumpur pada Sabtu jam 8:45 malam. Perlawanan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu.
FAM dalam penjelasan kepada Nadi Arena, menegaskan bahawa surat panggilan menyertai latihan skuad Olimpik sudah dihantar sejak awal dan tiada pengecualian diminta oleh Kelantan.
Menurut Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Ahmad Fuad Daud, masalah teknikal itu wujud apabila KAFA dikhabarkan lewat membuat tempahan tiket penerbangan kepada Khairul Fahmi.
Ini kerana, KAFA didapati kurang jelas dengan surat panggilan melapor diri pada 18 Januari lalu dan Fahmi dilihat menjadi mangsa keadaan.
Pada masa sama, bagi mengelak kejadian sama berulang, Ahmad Fuad mencadangkan pihaknya agar terus menghubungi pemain berkenaan dan tidak lagi bergantung kepada surat panggilan melapor diri semata-mata.