Menjelang Perlawanan Malaysia lwn Indonesia. Final 1, 26 Disember 2010 (Ahad)

Igauan kekalahan 1-5 pada peringkat kumpulan kembali menjelma, apabila anak-anak buah K. Rajagobal sekali lagi akan menentang Indonesia pada perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2010 selepas pasukan Merah Putih itu menyingkirkan Filipina menerusi agregat 2-0 pada saingan separuh akhir semalam.

klik 👉 Follow Telegram Obsesbola untuk berita bolasepak terkini (large-bt)

Menjelang Perlawanan Malaysia lwn Indonesia. Final 1, 26 Disember 2010 (Ahad)

Indonesia menang 1-0 pada separuh akhir pertama dan kedua untuk menempah pertemuan dengan Malaysia, yang lebih awal melayakkan diri dengan mengetepikan penyandang juara, Vietnam juga menerusi agregat 2-0 pada satu lagu separuh akhir.

Picture

Biarpun pasukannya menang pada perlawanan pertama, jurulatih Indonesia, Alfred Riedl mengakui resah dengan kelibat pemain muda negara.

"Peluang 50-50, perlawanan akhir adalah sukar dan kami akan ke Malaysia lebih awal pada 24 Disember ini untuk persiapan,'' kata Riedl.

Bagi kapten Malaysia, Safiq Rahim, melangkah ke final tidak memadai kerana dia dan rakan-rakan mahu mencari sejarah lebih hebat dengan menjulang trofi buat kali pertama.


Katanya, sejak awal saingan lagi dia yakin Malaysia mampu pergi jauh melihat kepada prestasi memberangsangkan, terutama ketika meraih pingat emas Sukan SEA di Laos tahun lalu dan mara ke pusingan kedua Sukan Asia Guangzhou bula lepas.

Jelas pemain tengah Selangor itu lagi, keyakinan itulah yang banyak membantu menaikkan semangatnya untuk menyingkirkan Vietnam di separuh akhir dan mencipta sejarah menjuarai kejohanan ini buat kali pertama.


"Sebelum ini kita hanya meletakkan sasaran mara ke separuh akhir, bagaimanapun hasil kerja keras rakan-rakan, kami semakin hampir untuk melakar satu lagi sejarah," katanya.

Safiq, 23, berkata, dia dan rakan-rakan tidak mahu menoleh ke belakang, selepas berjaya ke final, sebaliknya mereka lebih bernafsu untuk menang.

"Situasi kami sekarang ini seperti ini, alang-alang sudah ke akhir biarlah sampai julang piala, apa yang harus kami lakukan ialah mengekalkan prestasi menjelang dua perlawanan akhir yang akan diadakan pada 26 dan 29 Disember ini,'' katanya.

Menurutnya, walaupun pernah muncul juara Sukan SEA tetapi ia tidak sama dengan Piala Suzuki AFF.

"Selepas kekalahan kepada Indonesia dulu kami duduk berbincang dan masing-masing menanam azam untuk menebus kembali kesilapan tersebut dengan menewaskan Indonesia di saingan akhir.

"Masing-masing berdendam dengan pasukan Indonesia, memang kami berkeinginan untuk jumpa mereka di final, dendam ini harus ditebus di atas padang dan perlu dibalas pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil," katanya.

Keputusan seri 0-0 di Hanoi membolehkan Malaysia mara ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF selepas kali terakhir mara sehingga peringkat tersebut pada 1996 yang menyaksikan skuad kebangsaan tumpas 0-1.

Malaysia Layak ke Final Piala AFF Suzuki 2010 Selepas 14 Tahun!!

Tahniah sekali lagi buat pasukan bola sepak Malaysia yang berjaya ke final Piala AFF Suzuki 2010 buat pertama kali dalam masa 14 tahun selepas seri 0-0 dengan Vietnam tadi. Sebelum ni Malaysia menang 2-0 di Bukit Jalil, jadi agregat Malaysia menang dan layak ke Final 2-0. Pemain-pemain telah menunjukkan semangat juang yang tinggi walaupun kawalan bola agak longgar dan banyak lakukan hantaran tidak tepat. Tahniah buat penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat yang beraksi cemerlang menggagalkan percubaan-percubaan bahaya Vietnam.

Picture
Muslim Ahmad,21 tahun (no.24) serta Fadhli Shas,19 tahun (no.27) mengemudi barisan pertahanan negara dengan baik dalam aksi separuh akhir kedua menentang Vietnam.

Sangat-sangat membanggakan buat pasukan Malaysia selepas berjaya membawa balik pingat emas Sukan SEA. Jom kita imbas balik dari pertemuan Malaysia dengan Vietnam sejak Sukan SEA hingga Piala AFF Suzuki. Malaysia kalah dengan Vietnam 3-1 pada peringkat kumpulan Sukan SEA tapi layak ke final selepas mengalahkan Thailand 1-0. Kemudian Malaysia sekali lagi berjaya kalahkan Vietnam di final Sukan SEA dan membawa pulang pingat emas pertama dalam masa 20 tahun dengan jaringan 1-0.

Kali ni pada Piala Suzuki AFF 2010 Malaysia telah menggagalkan sekali lagi impian Vietnam dengan bermain secara bertahan dan kemudian sekali-sekala membuat counter-attack berbahaya. Tapi malangnya peluang terbaik telah disia-siakan. Saya dah dapat agak yang Vietnam memang akan bermain secara menyerang habis-habisan dengan kelebihan kawalan bola + permainan laju. Tapi pertahanan Malaysia telah berjaya menyerap asakan dan telah membawa bola sepak Malaysia layak ke final buat kali pertama dalam masa 14 tahun selepas tahun 1996. Tahniah buat pemain Malaysia yang berjaya mengharumkan nama Malaysia kali ini walaupun tanpa 12 tonggak utama seperti Zaquan Adha, Aidil Zafuan, Baddrol Bakhtiar & yang lain - lain.



Selepas ini pasukan 'muda' Malaysia akan membawa cabaran peringkat akhir Piala AFF Suzuki secara timbal balik bermula aksi di Stadium National Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Malaysia pada 26 Disember 2010. Iaitu pada ahad depan. Perlawanan dijangka bermula pada pukul 8:00 malam. Dengan lawan yang menanti selepas ini sama ada Indonesia ataupun Filipina. Diharapkan para penyokong Malaysia dapat memenuhi stadium supaya sorakan kita ini sedikit sebanyak dapat membantu pasukan negara, Malaysia di pentas akhir nanti.

Dengan harapan Malaysia akan berjaya membawa pulang Piala AFF Suzuki buat kali pertama dalam sejarah pada tahun 2010 ni. Malaysia boleh!!!

Sokonglah Bola Sepak MALAYSIA!!!!!
Majulah Sukan Untuk Negara

Semua terpulang kepada pemain

Ketua jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal yakin, anak-anak buahnya mampu melakar kejutan lebih besar pada kejohanan Piala Suzuki AFF dan melayakkan diri ke perlawanan akhir bukan kemuncak kejayaan mereka.

Bagaimanapun halangan terbesar mereka untuk menggenggam kejuaraan yang tidak pernah dimenangi itu adalah diri sendiri, sama ada cukup yakin atau tidak untuk merangkul gelaran.

"Apabila kita sudah sampai ke tahap ini (perlawanan akhir), semuanya sebenarnya terserah kepada pemain sama ada mereka bersungguh-sungguh mahu mencipta kemenangan atau sebaliknya.


"Apa yang ingin saya ingatkan pemain tidak boleh terbawa-bawa dengan kemenangan ini, selain perlu mempamer corak permainan yang konsisten dan fokus pada baki dua perlawanan akhir ini," katanya ketika ditemui selepas tiba dari Hanoi, Vietnam semalam.

Tegas Rajagobal, biarpun kejayaan melangkah ke final berjaya mengulangi pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan bola sepak berprestij Asia Tenggara itu, namun pemain tidak harus mudah berpuas hati jika mengimpikan pencapaian yang lebih hebat.

Pada masa yang sama, beliau juga tidak mahu anak-anak buahnya berasa tertekan untuk memenuhi pengharapan tinggi peminat bola sepak tempatan, sebaliknya bermain dengan sepenuh kebebasan dan hanya turun untuk memberikan permainan terbaik.

"Saya nak pemain terus menikmati perlawanan tanpa tertekan.

"Inilah peluang terbaik kita. Kesempatan ini harus digunakan sebaik mungkin kerana kita tidak tahu bila lagi kita akan mendapat peluang keemasan seperti ini," katanya lagi yang turut mengharapkan pemain dapat memberikan sesuatu kepada rakyat Malaysia pada perlawanan akhir itu nanti.

Rajagobal turut memuji kematangan anak-anak buahnya yang tidak mudah melatah selepas dikritik hebat ekoran kekalahan besar 1-5 kepada Indonesia pada perlawanan peringkat kumpulan, sebaliknya mereka bangkit dengan persembahan lebih baik pada baki saingan dalam laluan menuju ke perlawanan akhir.

"Walaupun tewas pada perlawanan pertama kepada Indonesia dan dikritik, pemain terus mempamerkan peningkatan apabila menentang Thailand (0-0) dan Laos (5-1) serta seterusnya menyingkirkan juara edisi 2008 dan tuan rumah Kumpulan B, Vietnam.


"Kunci kejayaan kita adalah pemain yang disiplin tinggi, mengikut arahan jurulatih serta kemahuan untuk pergi ke peringkat yang lebih tinggi," jelasnya lagi.

Tabung Akujanji suntik semangat pemain

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggalakkan lebih banyak syarikat korporat untuk turut serta dalam Tabung Akujanji Ganjaran Piala Suzuki AFF 2010 sebagai tanda menghargai perjuangan skuad bola sepak kebangsaan.

Katanya, setakat ini sejumlah RM88,200 telah dijanjikan oleh enam syarikat dengan setiap pemain bakal menerima tambahan ganjaran lebih RM4,000 setiap seorang jika berjaya muncul juara kejohanan tersebut.

Malah katanya, Kementerian Belia dan Sukan telah pun menjanjikan RM5,000 bagi setiap pemain jika mereka berjaya membawa pulang gelaran sulung saingan bola sepak serantau itu.



''Ini boleh dianggap sebagai tanda penghargaan kita sebagai rakyat kepada mereka ini kerana sebelum ini hanya kerajaan dan persatuan sahaja yang memberikan ganjaran.


''Saya galakkan lebih ramai lagi syarikat dapat tampil untuk turut sama terlibat dalam Tabung Akujanji ini sekali gus dapat menunjukkan tanda terima kasih kita seandainya mereka berjaya,'' kata Ahmad Shabery kepada pemberita selepas tamat Kejohanan Futsal 1Belia 1Malaysia di sini semalam.

Hadir sama, timbalannya, Datuk Razali Ibrahim, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad dan jurulatih skuad kebangsaan, K.Rajagobal.

Tabung Akujanji Ganjaran Piala Suzuki AFF 2010 itu dikendalikan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan pihak berminat boleh menghubungi Pejabat SAM dengan menelefon 03-20780985 (Isnin, Selasa & Khamis, 10 pagi hingga 4 petang) ataupun faksimili 03-20706294.



Sementara itu, Razali menegaskan agar siaran langsung peringkat akhir kejohanan Piala Suzuki dapat disiarkan secara langsung, terutama di rangkaian siaran televisyen milik kerajaan.

''Kita sedia maklum tidak semua rakyat yang berkemampuan untuk melanggan siaran berbayar dan dengan menyiarkan siaran secara langsung melalui mana-mana rangkaian televisyen sedia ada terutama yang milik kerajaan semua rakyat dapat merasai semangat yang ada pada pasukan kebangsaan.



''Kejayaan kita untuk mara ke peringkat akhir adalah sesuatu yang julung kali dapat dirasakan kalau boleh kejayaan yang bakal mereka peroleh dapat dirasai bersama dengan menonton perlawanan secara langsung,'' jelas Razali.

Dalam pada itu, Azzuddin berkata, jumlah tiket dan harga tiket hanya akan diketahui selepas Jawatankuasa Tiket dan Pintu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengadakan mesyuarat pada 22 Disember ini.

''Kita jangkakan tiket akan mula dijual pada 24 Disember ini, apa pun kita akan maklumkan kepada semua selepas mesyuarat tersebut

''Saya juga ingin memaklumkan bahawa perlawanan akhir pertama ini akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada pukul 8.00 malam pada 26 Disember ini,'' kata Azzuddin.

Juara tak mustahil

PUAS...skuad bola sepak negara tiba di Terminal LCCT, semalam.

KAPTEN skuad kebangsaan, Mohd Safiq Rahim percaya impian untuk bergelar juara Piala Suzuki AFF bukan lagi sesuatu yang mustahil selepas mengetuai rakan-rakannya mara ke perlawanan akhir dengan menyingkirkan juara bertahan, Vietnam pada separuh akhir, kelmarin.

Perancang tengah berusia 23 tahun itu kini semakin yakin skuad itu bakal mencipta satu lagi sejarah bola sepak tempatan selepas anak buah K Rajagobal mengakhiri penantian 20 tahun pingat emas Sukan Sea dan mara ke pusingan kedua Sukan Asia selepas tempoh 32 tahun.

“Kami cuma perlu mengekalkan prestasi terbaik pada dua perlawanan akhir Ahad dan Rabu depan selain membaiki kelemahan yang ada sepanjang kejohanan ini iaitu sejak perlawanan pertama.

“Walaupun sasaran awal adalah separuh akhir, kerja keras serta kerjasama berpasukan akhirnya membuahkan hasil untuk menamatkan penantian 14 tahun mara ke perlawanan akhir,” katanya.

Pada separuh akhir kedua di Stadium Nasional MyDinh, Hanoi, Malaysia mengamalkan corak permainan bertahan sepanjang 90 minit kerana sedar Vietnam pastinya memburu gol awal untuk mencetus semangat selepas Malaysia menang 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu lalu.

“Vietnam dijangka menyerang habis-habisan menyebabkan kami mengamalkan corak bertahan supaya tidak membenarkan mereka menjaringkan gol.

“Walaupun ramai pemain muda dalam skuad ini, kami berjaya mengekang asakan jentera serangan Vietnam yang kebanyakannya berpengalaman bermain di peringkat ini,” katanya.

Usaha bertahan Malaysia akhirnya membuahkan hasil apabila tiada gol dijaringkan lawan yang mendapat beberapa peluang terbaik namun dinafikan kecekalan barisan pertahanan negara serta kecekapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Rajagobal teruja menanti aksi final


IMPIAN menggunung jutaan rakyat Malaysia dan pemain kebangsaan untuk menentang Indonesia pada perlawanan akhir Piala Suzuki AFF bagi menyempurnakan misi membalas dendam kekalahan memalukan di peringkat kumpulan akhir tercapai.

Indonesia mengesahkan kemaraan ke pentas akhir apabila menyingkirkan Filipina 1-0 menerusi jaringan tunggal Christian Gonzales pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta semalam dan mara dengan keputusan agregat, 2-0.

Ketua jurulatih kebangsaan, K Rajagobal yang turut mengimpikan pertemuan itu bagaimanapun enggan menganggapnya sebagai perlawanan membalas dendam selepas dimalukan 5-1 pada perlawanan pertama peringkat kumpulan A, awal bulan ini.

“Saya teruja menanti perlawanan ini. Hanya pemain yang dapat tentukan perasaan mereka apabila bertemu di perlawanan akhir,” katanya.

Rajagobal bagaimanapun berkata, Indonesia pasti tidak akan mengambil mudah final itu kerana menyedari permainan dipamer skuad kebangsaan ketika perlawanan awal bukanlah corak dan tahap kemampuan sebenar.

“Malah jurulatih Indonesia, Alfred Riedl berjumpa dengan saya selepas perlawanan itu dan berkata ia bukanlah jumlah jaringan yang sepatutnya,” jelasnya.

Namun, sebagai jurulatih, Rajagobal tidak dapat menyembunyikan hasratnya untuk skuad kebangsaan menjuarai kejohanan utama bola sepak di rantau Asia Tenggara ini buat kali pertama.

“Inilah peluang terbaik. Kesempatan ini harus digunakan sebaik mungkin kerana kita tidak tahu bila lagi mendapat peluang keemasan seperti ini,” katanya.

Bekas jurulatih Selangor dan Kelantan itu juga percaya kejayaan menumbangkan juara bertahan itu mengubah senario kejohanan itu dan berdasarkan persembahan yang dipamer, barisan pemain muda negara memang layak untuk berada di perlawanan akhir.

“Kunci kejayaan kita adalah disiplin pemain yang tinggi, mengikut arahan jurulatih serta kemahuan untuk pergi ke peringkat lebih tinggi,” jelasnya.

Bagi pemain kebangsaan, mereka pastinya gembira dengan kejayaan Indonesia bagi menebus kembali maruah negara selepas dipersendakan dengan corak permainan pantas negara jiran itu di Stadium Gelora Bung Karno, 1 Disember lalu.

Indonesia bagaimanapun harus dihormati apabila mencatat kemenangan dalam semua perlawanan sejak peringkat kumpulan A dengan menjaringkan 15 gol dan hanya dua bolos manakala Malaysia muncul naib juara kumpulan sama meraih empat mata (satu menang dan satu seri) sebelum menyingkirkan Vietnam 2-0 di separuh akhir secara agregat.

Final berlangsung timbal balik bermula Ahad ini dengan Malaysia menjadi tuan rumah di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini sebelum berkunjung ke Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta Rabu depan untuk menentukan juara Piala Suzuki AFF edisi kelapan.

Indonesia jumpa Malaysia di final

INDONESIA seperti diramal melangkah ke final Piala Suzuki AFF apabila menyingkirkan Filipina menerusi agregat 2-0 selepas perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta, malam tadi berkesudahan tuan rumah mencatatkan kemenangan tipis 1-0.

Berbekal kemenangan 1-0 pada perlawanan separuh akhir pertama, lima hari lalu, skuad bimbingan Alfred Riedl melakukan asakan sejak wisel permulaan terutama daripada pemain berasal dari Uruguay, Cristian Gonzales serta pemain tengah, Oktovianus Maniani namun benteng Filipina berjaya menafikan setiap cubaan Indonesia.

Bagaimanapun, dua minit sebelum tamat babak pertama, Gonzales meledakkan gol cantik dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol lawan, Neil Etheridge.

Pada babak kedua, Indonesia terus melakukan asakan namun anak buah Simon McMenemy tidak mudah menyerah kalah apabila turut menyerang balas dan hampir menyamakan kedudukan menerusi cubaan cantik Chris Greatwich tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.

Kemenangan itu bermakna, Indonesia akan bertemu Malaysia pada pentas akhir yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 26 Disember ini sebelum perlawanan timbal balik di Indonesia tiga hari kemudian.

Pada perlawanan pertama peringkat kumpulan 1 Disember lalu, Indonesia mengalahkan anak buah K Rajagobal, 5-1.

Share this news articles:

Followed us at Facebook, Twitter, and Telegram for top news football soccer stories everyday.
Click 👉 https://t.me/Obsesbola


Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.