Roy Hodgson berkata, Liverpool masih mampu menyaingi kedudukan teratas Liga Perdana England, walaupun sekadar seri 1-1 dengan Wigan, semalam.
Sebelum ini kedudukan Hodgson sebagai pengurus Reds diragui, setelah pasukan barunya itu terjebak daripada satu krisis ke satu lagi krisis yang lain.
Begitupun, tiga kemenangan berturut-turut yang dilakar kelab itu dalam Liga Perdana, termasuk menewaskan Chelsea, menunjukkan Reds mula menunjukkan tanda-tanpa pemulihan.
Bagaimanapun, pada aksi di Wigan, Liverpool kembali mempamerkan persembahan di bawah kemampuan sebenar mereka.
Pasukan bimbingan Hodgson itu mendahului menerusi jaringan awal Fernando Torres, tetapi Hugo Rodallega berjaya menyamakan kedudukan selepas rehat.
Namun, Liverpool tetap bernasib baik kerana mencatat keputusan seri.
Hodgson mendakwa, jadual perlawanan yang padat, menyebabkan anak-anak buahnya gagal memberikan mutu permainan yang diharapkan.
Namun, katanya masih banyak kerja yang perlu dilakukan untuk meningkatkan skuadnya.
''Kami agak keletihan ketika menentang Wigan. Namun, saya tidak fikir kami tidak mampu melakukan hantaran seperti mana yang diharapkan.
''Begitu juga dengan persembahan kami. Saya tidak mempunyai pilihan pemain yang ramai sewaktu menentang Napoli, Blackburn, Bolton dan Chelsea.
''Lima pemain kami cedera dan ia memaksa saya membawa masuk Jonjo Shelvey, Nathan Eccleston dan Martin Kelly.
''Itu sahaja yang kami ada dan kami gunakan. Saya berharap beberapa pemain yang cedera dapat kembali beraksi secepat mungkin,'' katanya.
Liverpool mungkin beraksi tanpa beberapa pemain utama, tetapi masih memiliki kombinasi Steven Gerrard dan Torres.
Gandingan tersebut seolah-olah memiliki kuasa telepati untuk memahami antara satu sama lain dan ia dibuktikan apabila bintang Sepanyol itum berjaya menyempurnakan hantaran Gerrard untuk jaringan pembukaan di Stadium DW.
Namun, Liverpool yang gagal mengawal permainan dengan baik, akhirnya dihukum oleh Rodallega, yang menjaringkan gol penyamaan pada separuh masa kedua.
Dengan kehadiran Torres selaku penyerang berkemahiran tinggi yang mampu menjaringkan gol dari sudut sukar, bergandingan dengan rakan sepasukan Gerrard, meletakkan Liverpool sebagai antara pasukan yang mampu menyaingi kedudukan terbaik liga, sekali pun beraksi hambar pada awal musim.