Redknapp naik angin



Pengendali Tottenham, Harry Redknapp melepaskan geram kepada pengadil Piala Dunia, Howard Webb selepas Spurs tercicir dua mata berharga Liga Perdana Inggeris ketika seri 1-1 menentang Sunderland kelmarin.


Redknapp naik darah apabila Webb tidak memberikan sepakan penalti kepada Spurs selepas David Bentley dijatuhkan Boudewijn Zenden, sebaliknya Bentley dilayangkan kad kuning kerana dituduh sengaja menjatuhkan diri.

Pengurus Spurs itu turut mengkritik keputusan Webb yang hanya melayangkan kad kuning kepada pemain tengah Sunderland, Lee Cattermole yang mencetuskan kekecohan pada babak kedua ketika menerjah kasar perancang utama Tottenham, Luka Modric.

“Dia (Webb) tidak mempunyai apa-apa masalah dengan Tottenham atau sesiapa, tetapi itulah cara dia melihat insiden berkenaan. Saya tidak pernah mengkritik pengadil – itu bukan cara saya, tetapi kali ini ia sepatutnya penalti. Jika dia memberikannya, pasti membawa perubahan besar.”

Redknapp juga bengang dengan cara Webb menangani terjahan kasar Cattermole ke atas Modric yang menyaksikan bintang Croatia itu terpaksa terhencut-hencut keluar padang.

“Dia (Cattermole) mungkin akan mematahkan kakinya dengan mudah,” kata Redknapp.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.