PERLIS merebut salah satu tiket ke suku akhir Piala Emas Raja-Raja 2010 selepas mempamerkan aksi cemerlang menewaskan Kuala Lumpur, 7-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan A di Stadium Utama Negeri Kangar, semalam.
Kejayaan itu hasil kemenangan kedua berturut-turut skuad juara bertahan itu selepas mengetepi cabaran Negeri Sembilan, 5-1 yang sebelum itu membelasah Kuala Lumpur, 7-1, pada perlawanan kedua di venue sama, Isnin lalu.
Bagaimanapun, prestasi tuan rumah pada perlawanan pertama menentang Pahang agak mencemaskan apabila tewas mengejut, 1-0 biarpun skuad juara Piala Agong 2010 itu menguasai sebahagian besar perlawanan.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Melayu Perlis (PBSMPs), Ku Besry Ku Aziz bagaimanapun berkata, kekalahan kepada Pahang itu tidak melemahkan semangat dan komitmen pasukan.
Sebaliknya, kata beliau, keputusan perlawanan itu menjadi pemangkin semangat dan kesungguhan kepada anak buah bekas tonggak pertahanan, Suhairi Abd Karim untuk memastikan kemenangan pada baki dua perlawanan menentang Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.
“Ini jelas dibuktikan apabila mereka mempamerkan persembahan mantap ketika menewaskan Negeri Sembilan dan seterusnya menjadikan Kuala Lumpur mangsa kedua dengan kemenangan menerusi jaringan besar,” katanya.
Penyerang utama, Romdhizat Jamian menyumbang empat gol manakala Mohd Ikmal Faiz Azmi menjaringkan dua gol dan Mohd Faiz Subri (satu gol).
Perlis bagaimanapun hanya berada di tangga kedua dengan enam mata di belakang Pahang yang unggul sebagai pendahulu mengutip sembilan mata hasil tiga kemenangan.