Hati Baddrol masih di Kedah


Baddrol Bakhtiar membuat keputusan mahu terus menabur jasa bersama pasukan negeri kelahirannya, Kedah musim depan.

Teka teki mengenai pasukan yang menjadi pilihan bintang Kedah, Baddrol Bakhtiar musim hadapan akhirnya terjawab, apabila pemain itu membuat keputusan untuk kekal sekurang-kurangnya dua tahun lagi bersama skuad Hijau Kuning.

Biarpun mendapat tawaran lumayan daripada beberapa pasukan seperti Negeri Sembilan, Selangor dan Kelantan, anak jati Sungai Petani itu membuatkan kesemua pasukan berkenaan gigit jari, apabila sanggup mengenepikan soal kewangan dan berikrar mahu setia bersama Kedah.

Turut mempengaruhi Baddrol yang baru dinobatkan Pemain Tengah Terbaik 2010 untuk kekal, adalah rakan sepasukannya seperti Khyril Muhymeen Zambri dan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

''Setelah fikir semasak-masaknya, saya mahu terus beraksi di sini kerana saya sudah serasi dengan semua pemain, terutama pemain muda, malah perasaan sayang kepada Kedah masih menebal.

''Saya telah pun bersetuju dengan kontrak yang ditawarkan oleh KFA dan akan menandatangani kontrak selama dua tahun," katanya yang dihubungi, semalam.

Selain Negeri Sembilan, Selangor dan Kelantan, dia juga mendapat tawaran dari Felda United, Sabah dan Perak.

Baddrol, yang berusia 22 tahun, merupakan antara tonggak utama Kedah sejak beberapa musim lalu dan dianggap antara watak penting dalam pasukan kebangsaan.

Dia bagaimanapun terlepas aksi ke Sukan Asia yang sedang berlangsung, ekoran mendapat kecederaan lutut kiri.

Selain itu, Baddrol berkata, dia semakin bersemangat apabila rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan, Amar Rohidan yang beraksi dengan Perlis, memilih untuk bersama Kedah pada musim hadapan.

''Selain Amar, Fauzi Nan juga akan bersama Kedah. Saya anggap ini akan memberikan kekuatan tambahan kepada pasukan ini bagi menghadapi skuad elit seperti Kelantan dan Selangor,'' katanya.

Selepas pasti bersama Kedah, tumpuan Baddrol adalah mahu menamatkan kemarau kejuaraan dua tahun Kedah, yang gagal menjulang sebarang piala pada musim lalu.

''Tidak kiralah apa jua piala sekalipun, saya bertekad mahu membawa pulang satu piala kepada peminat Kedah pada musim 2011.

''Perasaan sedih dan kecewa masih ada, selepas kami gagal meraih Piala FA walaupun sudah melangkah ke peringkat akhir di samping terkandas pada separuh akhir Piala Malaysia," jelasnya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.