Torres pastikan Reds terus bangkit


FERNANDO Torres (tengah) melepaskan rembatan ke arah pintu gol Chelsea walaupun diasak John Terry dan penjaga gol Petr Cech pada perlawanan Liga Perdana England di Anfield, kelmarin. - AP

Roy Hodgson menegaskan Fernando Torres gembira berada di Anfield, selepas penyerang Sepanyol itu mempamerkan persembahan menakjubkan, dengan menjaringkan dua gol ketika mencatat kemenangan 2-0 ke atas Chelsea, kelmarin.

Torres menunjukkan tanda bahawa dia sudah pulih daripada aksi hambar, apabila berjaya menambah dua lagi gol untuk dimasukkan dalam senarai jaringan Liverpool musim ini.

Kecemerlangan yang dipamerkan pemain itu seiring dengan persembahan konsisten anak-anak buah Hodgson, yang melebarkan rekod lima perlawanan tanpa kalah dalam aksi Liga Europa dan juga Liga Perdana.

''Kami sentiasa berbincang. Dia mahukan kelab ini bermain dengan baik.

''Malah, dia juga mahu melihat kami bergerak ke arah laluan yang betul,'' kata Hodgson, yang mengulas mengenai hubungannya dengan Torres, yang menjaringkan 60 gol dalam 79 perlawanan sejak menyertai Liverpool.

''Kami semua tertanya-tanya mengenai masa depan kelab apabila proses pengambil alihan berlaku, tetapi seperti diri saya, dia juga mampu melihat masa depan yang positif di sini.

''Dia suka berada di Liverpool dan bermain untuk Liverpool.

''Saya tidak bimbang tentang masa depannya bersama kelab ini, selagi kami berada pada kedudukan teratas di mana Liverpool sepatutnya berada.

''Dengan prestasi seperti ini, dia telah mempamerkan mutu permainan yang cemerlang. Fernando Torres merupakan pemain yang penting bukan sahaja untuk Liverpool, tetapi mana-mana kelab yang disertainya.

''Anda tidak boleh mencapai kejayaan tanpa pemain yang mampu membawa anda berada pada kedudukan teratas.

''Saya harap, Fernando mampu melihat kembali ke belakang dan berkata, 'walaupun pasukan saya tidak bermula dengan baik, saya mahu menamatkan musim ini dengan sesuatu yang hebat'.

''Saya amat berpuas hati dengan persembahan secara keseluruhannya dan Fernando berhak menerima pujian. Dia menerima kritikan dengan baik, walaupun, segelintir daripada teguran sengaja dibesar-besarkan.

''Namun, kini orang boleh berkata bahawa dia sudah kembali mendapat sentuhannya.

''Chelsea telah mencatat begitu banyak kejayaan dengan memiliki ramai pemain depan yang berkualiti dan Liverpool pula memiliki Fernando.

''Saya harap kami mampu kembali ke tahap yang terbaik.''

Bagi Torres pula, dia lebih senang untuk tidak menjawab persoalan sama ada dia kini sudah mencapai tahap terbaiknya atau tidak.

''Sukar untuk mengetahuinya. Saya terpaksa mengharungi musim yang sukar, begitu juga ketika beraksi pada Piala Dunia, saya berhadapan dengan masalah kecederaan dan setiap hari saya perlu mengharungi sesi latihan yang sukar,'' kata Torres. - AFP

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.