Lagi gesaan Annuar terajui KAFA

http://2.bp.blogspot.com/_P6fnjfmDFOE/TFy31j_ZfuI/AAAAAAAAAZE/IRwbTyirkfE/s1600/KEL+2610+ALZ+16.JPG

Kerajaan negeri meminta Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa supaya tidak melepaskan jawatan, demi pembangunan dan kebaikan sukan tersebut di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata, kepimpinan Annuar masih ditagih oleh KAFA dan seluruh peminat, selepas berjaya membawa kejayaan terhadap pasukan bola sepak Kelantan.

"Saya secara peribadi meminta Annuar tidak melepaskan jawatannya, kerana banyak lagi yang perlu dilakukan beliau untuk kejayaan pasukan bola sepak negeri ini.

"Kami di peringkat negeri, sentiasa memberikan bantuan dan galakan kepada beliau dan KAFA untuk membangunkan sukan ini ke peringkat lebih jauh lagi," katanya selepas persidangan Dewan Undangan Negeri di Kota Darulnaim di sini, semalam.

Annuar, dalam reaksinya selepas Kelantan muncul juara Piala Malaysia dengan menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil 30 Oktober lalu, bercadang untuk melepaskan jawatannya, bagi membolehkan beliau menjalankan tanggungjawab yang lebih mencabar sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Mengulas perkara itu, Abdul Fattah bagaimanapun bersetuju supaya mana-mana pemimpin melepaskan jawatan, ketika persatuan yang dipimpinnya berada di puncak kejayaan.

Mengenai arahan FAM yang meminta agar kerajaan negeri menaik taraf Stadium Sultan Muhammad IV, Abdul Fattah, memberi jaminan perkara itu akan diselesaikan dalam tempoh dua bulan lagi.

"Kita akan ambil perhatian arahan FAM itu dan dalam tempoh dua bulan ini iaitu ketika stadium tidak digunakan ketika tengkujuh, stadium ini Insya-Allah akan berubah wajah," katanya.

Annuar sebelum ini juga meminta kerajaan negeri melalui Perbadanan Stadium Kelantan, menaik taraf stadium berkenaan yang begitu daif.

Ini bagi membolehkan perlawanan peringkat kebangsaan seperti kempen Piala Malaysia dapat berlangsung di stadium itu.

Menyentuh mengenai insentif wang tunai yang akan dibayar kepada pemain Kelantan yang menjuarai Piala Malaysia, Abdul Fattah berkata, perkara tersebut akan diumumkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekembali beliau dari Mekah tidak lama lagi.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.