Andy Carroll dipuja, dikeji




pix_middlePENYERANG Newcastle, Andy Carroll (gambar) berjanji akan belajar daripada kesilapan di luar padang yang sedikit menggugat eksploitasi di atas padang ketika dia berada di ambang panggilan menyertai skuad kebangsaan England.

Carroll berjanji untuk mempertingkatkan permainannya apabila dia tidak beraksi buat Newcastle yang menyaksikannya menjaringkan tujuh gol musim ini dan menghasilkan permainan menakjubkan yang membantu kelab itu dalam kempen Liga Perdana Inggeris.

Dia berjaya melonjakkan Newcastle berikutan dinaikkan divisyen daripada Liga Kejuaraan sekali pun berdepan beberapa masalah peribadi baru-baru ini.

Carroll didenda oleh hakim mahkamah kerana menyerang seorang lelaki dan kereta baru Range Rover miliknya menjadi tumpuan selepas dia tampil di mahkamah berikutan beberapa dakwaan serangan.

Namun Carroll, yang berharap disenaraikan oleh ketua jurulatih pasukan kebangsaan Fabio Capello dalam skuad England untuk berdepan Perancis di Wembley minggu depan, menegaskan kontroversi luar padang “hanya akan membuatkan saya lebih tabah”.

Capello
Fabio Capello
“Saya hanya perlu melupakan apa yang berlaku,” kata Carroll, 21. “Saya akan belajar daripada kesilapan saya. Dan sekarang saya hanya mahu menumpukan terhadap bola sepak.

“Saya tidak mahu berada di muka depan akhbar lagi, hanya muka belakang. Saya perlu bertenang dan memikirkan ada sekumpulan orang hebat di sini yang akan membantu saya.”

Carroll, yang sudah menjaringkan dua gol dalam lima penampilan bagi skuad Bawah 21 Tahun England berkata: “Saya hanya mahu bermain bola sepak. Ada banyak perkara berlaku. Tapi saya hanya perlu menumpukan terhadap bola sepak saya seperti yang saya lakukan dalam beberapa minggu ini.

“Saya hanya mahu bermain dengan baik, berlatih dengan bersungguh-sungguh dan pada hujung minggu menghasilkan perkara yang paling penting iaitu bermain buat Newcastle.”

Kereta Carroll berasap apabila ia diletakkan di luar rumah ketua pasukan Newcastle, Kevin Nolan ketika dia menginap di rumah itu seperti yang diminta majistret sebagai sebahagian daripada syarat ikat jamin apabila dia dituduh menyerang seorang wanita.

“Saya hanya mahu melupakan mengenainya dan melupuskannya terus daripada fikiran saya.

“Saya hanya mahu terus bermain dengan bagus seperti yang saya lakukan sebelum ini tanpa sebarang masalah. Saya fikir itulah yang saya sudah lakukan. Nobby dan isterinya banyak membantu saya. Mereka memberikan saya tempat tinggal dan mereka menjaga saya dengan baik.

“Saya perlu berterima kasih kepada mereka, Kev sering berada di sana, sama ada di rumah atau di tempat lain.”

Selepas mengagumkan Capello dengan menanduk masuk gol kemenangan 1-0 ke atas Arsenal Ahad lalu, penyerang kelahiran Gateshead itu mahu menyerlah buat pasukan kebangsaan England pula.

Namun penyerang United memakai jersi nombor 9 itu enggan berbicara mengenai penampilan sulungnya bersama England dengan menegaskan usaha untuk mengalahkan Fulham malam ini dan “memperbetulkan banyak perkara” bermain di fikirannya.

Dia jelas kecewa selepas kekalahan 1-2 di tangan Blackburn Rovers apabila pengurus pasukan lawan, Sam Allardyce menggunakan tiga pemain pertahanan pada satu-satu masa untuk menyekat pergerakan Carroll.

Bagaimanapun, ia tidak cukup untuk menyekatnya menjaringkan gol ketujuh liga musim ini dengan gol penyamaan pada awal babak kedua melonjakkan jumlah gol kariernya dalam Liga Perdana kepada 10 gol dan secara keseluruhan, 29 gol dalam 53 perlawanan.

Legenda Newcastle dan England, Alan Shearer berkata beliau percaya Carroll bersedia untuk menggalas tugasan Three Lions dan ramai lagi pengulas bola sepak berkongsi pendapat sama.

Namun Carroll berkata: “Ketika ini setiap orang hanya menantikan perlawanan Sabtu ini dan melakukan tugasan yang baik menentang Fulham.

“Kami agak terkilan dan kecewa kerana kalah.

“Mengenai panggilan menyertai skuad England, saya hanya perlu menanti apa yang akan berlaku.

“Tiada siapa pun daripada Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) menghubungi saya dan saya tidak akan mengetahuinya sebelum orang lain Sabtu ini (hari ini).



“Kami hanya perlu melihat apa yang akan berlaku. Saya menjaringkan gol dan melakukan apa yang terbaik ketika ini.”


PROFIL
NAMA PENUH: Andrew Thomas Carroll
TARIKH LAHIR: 6 Januari 1989
TEMPAT LAHIR: Gateshead, England
TINGGI: 1.91 meter
POSISI: Penyerang
KELAB SEMASA: Newcastle United
NOMBOR JERSI: 9
KARIER REMAJA:

  • 2005-2006 (Newcastle United)
    KARIER SENIOR:
  • 2006-kini (Newcastle United)
  • 2007-2008 (Preston North End, dipinjamkan)
    PASUKAN KEBANGSAAN:
  • 2007-2008 (England B-19, 8 perlawanan, 4 gol)
  • 2009-kini (England B-21, 5 perlawanan, 2 gol)
  • Post a Comment

    0 Comments
    * Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.