MH370

Terkini

9 pemain skuad kebangsaan cedera




PETALING JAYA - Walaupun acara bola sepak pada Sukan Asia XVI belum bermula, fikiran jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal (gambar) sudah bercelaru dalam merangka strategi terbaik di Guangzhou apabila mendapat khabar duka bahawa dia akan kehilangan sembilan pemain utama.

Mengetuai senarai kecederaan ialah ketua pasukan, Mohd. Aidil Zafuan yang semakin pasti terpaksa melupakan aksi di Guangzhou dan pasangan kembarnya, Zaquan Adha Abdul Razak serta dua tonggak pertahanan Kedah, Mohd. Sabre Mat Abu dan Azmi Muslim.

Selain itu, kelibat dua penjaga gol utama, Sharbinee Allawee dan Mohd. Farizal Marlias juga terpaksa diketepikan.

Mengusutkan lagi keadaan, Baddrol Bakhtiar yang mengalami kecederaan lutut kiri tidak sempat pulih selain Bunyamin Omar. Manakala bintang Harimau Muda, Gary Steven Robbat yang mengalami kecederaan pangkal paha masih berada di tahap 50-50.

Nada Rajagobal ketika ditemui di padang latihan Wisma FAM jelas tidak begitu gembira kerana menyifatkan kecederaan datang pada masa yang cukup genting.

''Kehilangan Aidil dan pemain-pemain lain jelas banyak mengganggu persiapan skuad tetapi saya perlu meneruskan cabaran dengan bergantung pemain sedia ada.

''Tetapi saya sedikit lega kerana dua pemain lain, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd. Fandi Othman sudah kembali pulih dan disahkan cergas, kalau tidak bertambah panjang senarai pemain

''Saya tidak mahu mengaku kalah sebelum berjuang walaupun menyedari China dan Jepun berada sekumpulan dengan kami, saya masih yakin pemain yang tinggal berupaya membawa cabaran negara.

''Buat masa ini, fokus saya adalah memilih tiga pemain senior untuk dibawa pergi ke Sukan Asia daripada tujuh pemain di dalam skuad,'' katanya yang ditemui di Wisma FAM, semalam.

Antara pemain senior yang berada di dalam skuad kebangsaan adalah Mohamad Ashaari Samsudin, Safee Sali, Norhafiz Zamani Misbah, S. Kunanlan, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd. Amirulhadi Zainal.

Rajagobal bagaimanapun mengakui dia akan membawa pemain yang berbeza dalam mengharungi cabaran Piala AFF pada awal Disember ini.

''Ramai pemain senior terpaksa diketepikan untuk ke Guangzhou namun dalam cabaran AFF, kebanyakan daripada mereka akan dipanggil balik.

''Mungkin daripada senarai kecederaan yang panjang itu, ada antara mereka yang sempat pulih dan kita akan tengok bagaimana tahap kecederaan mereka, '' katanya.

Skuad negara akan berhadapan Maldives di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada pukul 5 petang ini yang merupakan perlawanan persahabatan terakhir sebelum berangkat ke Guangzhou pada Jumaat ini.

9 pemain skuad kebangsaan cedera Reviewed by admin Ucop on 10:00 PM Rating: 5

No comments:

All Rights Reserved by Kickbola Blogspot Soccer Online News © 2014 - 2015
Powered By Blogger, Designed by Sweetheme

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.